Pemakluman Perkhidmatan Masyarakat

SCAM: Cara-Cara Untuk Tidak Tertipu (Dengan Pengetahuan Undang-Undang)

Makluman khidmat masyarakat ini dibawakan kepada anda oleh: Suppiah & Partners

Apakah scam?

Skim penipuan yang direka untuk menipu seseorang. Biasanya, matlamat utama penipu adalah keuntungan kewangan atau maklumat peribadi.

Menurut Gogolook, syarikat teknologi amanah terkemuka, Malaysia kehilangan sejumlah RM 54 Bilion (3% daripada KDNK Malaysia) akibat penipuan dalam setahun. Penyelidikan menunjukkan kira-kira 70% mangsa penipuan tidak melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa.

Bagaimanakah scam selalunya dilakukan?

E-MEL

Anda mungkin menganggap e-mel yang anda terima hanyalah e-mel biasa, tetapi dalam dunia digital hari ini, anda boleh terjebak dengan penipuan hanya dengan membalas e-mel anda.

E-mel scam ini selalunya kelihatan seperti e-mel biasa yang anda terima setiap hari, tetapi sebenarnya maklumat peribadi anda seperti butiran perbankan, kata laluan atau data peribadi yang lain sedang dicuri.

Salah satu jenis e-mel scam yang biasa digunakan adalah ‘email phishing’. E-mel jenis ini berpura-pura menjadi organisasi yang sah, menggesa anda untuk bertindak balas dengan cepat.

Contoh:

  1. E-mel Phishing daripada “Bank”
    E-mel yang mendakwa ia daripada bank akan menggesa anda untuk klik pautan bagi melindungi akaun anda atau akaun anda akan disekat.
  2. KWSP atau Penipuan Bayaran Balik Cukai
    E-mel atau panggilan palsu yang menyatakan anda layak untuk pengeluaran KWSP atau bayaran balik cukai LHDN, meminta anda memberikan butiran peribadi.
  3. Penipuan Cinta
    Penipu pada aplikasi temu janji atau media sosial berpura-pura menjalinkan hubungan sebelum meminta wang kerana “kecemasan keluarga” atau alasan lain.

Cara-cara mengesan scam

  1. Semak Alamat E-mel (Spoofing)
    Scammer sering menggunakan alamat e-mel palsu atau mencurigakan yang kelihatan serupa dengan alamat e-mel sebenar. Sentiasa semak e-mel pengirim dengan teliti. Jika ia daripada bank atau syarikat, sahkan e-mel rasmi di laman web mereka. Jika ia daripada seseorang yang anda kenali, hubungi mereka untuk mengesahkan.

    E-mel yang sah:
    moneybank@gmail.com
    E-mel penipu:
    m0neybank@gmail.com

  2. Mendesak
    E-mel penipuan selalunya cuba untuk membuat anda panik. Mereka mungkin mengatakan akaun anda akan dikunci atau anda mesti bertindak segera. Ini adalah helah untuk membuat anda bertindak tanpa berfikir. Pastikan anda bertenang dan sahkan informasi sebelum melakukan apa-apa.
  3. Invois Palsu dan Permintaan Pembayaran
    Tujuan utama scammer adalah wang. Berhati-hati dengan e-mel yang meminta pembayaran atau invois. Sentiasa semak semula sebelum membuat sebarang pemindahan wang.
  4. Bahasa dan Tatabahasa yang lemah
    Organisasi yang sah akan menggunakan tatabahasa dan bahasa profesional yang betul dalam e-mel mereka. E-mel penipuan selalunya mempunyai kesilapan menaip, frasa pelik atau ayat janggal—sesuatu yang orang ramai cenderung untuk terlepas pandang.

PANGGILAN TELEFON

Scam melalui panggilan telefon dibuat untuk menipu seseorang untuk mendedahkan maklumat sensitif mereka.

Pada masa yang maju ini, setiap rekayat di Malaysia pasti pernah mendapat panggilan scam.

Panggilan ini boleh datang melalui telefon peribadi anda atau pun telefon pejabat anda.

Penipu biasanya mendapat nombor telefon anda daripada kebocoran data, laman web syarikat anda atau platform media sosial seperti Facebook atau LinkedIn.

Contoh:

Panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali memberitahu tentang aktiviti haram yang dipautkan ke nombor telefon anda.

  1. Panggilan Telefon daripada “Pegawai Bank”
    Pemanggil yang berpura-pura menjadi wakil bank, memberi amaran kepada anda tentang transaksi yang tidak dibenarkan dan meminta butiran perbankan anda untuk “menyelesaikan isu.”
  2. Panggilan Polis atau SPRM Palsu
    Pemanggil yang berpura-pura menjadi polis, SPRM atau Bank Negara, mendakwa anda terlibat dalam jenayah dan mesti memindahkan wang untuk “tujuan penyiasatan.”
  3. Penipuan Amal Jariah
    Mesej atau panggilan meminta derma untuk badan amal yang menggunakan cerita emosi untuk menekan orang ramai supaya memindahkan wang.

Cara-cara mengesan scam

  1. Nombor Tidak Diketahui
    Scammer biasanya membuat panggilan daripada nombor yang anda tidak kenali. Mereka melakukan ini untuk mengelakkan pengesanan dan diblok. Berhati-hati jika anda menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.
  2. Menyamar sebagai Organisasi
    SebenarPenipu sering berpura-pura menjadi daripada organisasi yang dipercayai seperti LHDN atau bank kerana orang ramai lebih cenderung mempercayainya. Jika anda menerima panggilan yang mendakwa sebagai daripada syarikat atau badan kerajaan, sahkan ia sebelum berkongsi sebarang butiran.
  3. Mewujudkan Rasa Terdesak
    Mereka akan cuba membuat anda panik dengan mengatakan terdapat masalah—seperti transaksi yang mencurigakan, bil tidak dibayar atau masalah undang-undang. Matlamat mereka adalah untuk menekan anda supaya bertindak balas dengan cepat tanpa berfikir.
  4. Meminta Maklumat Peribadi
    Syarikat yang sah tidak akan meminta butiran perbankan anda, kata laluan atau OTP melalui telefon. Jika pemanggil meminta ini, ia adalah satu penipuan. Tutup telefon segera.
  5. Gunakan Aplikasi ID Pemanggil
    Alat yang berguna untuk membantu mengenal pasti nombor yang tidak dikenali ialah aplikasi Whoscall, yang boleh anda muat turun pada telefon anda. Ia membantu mengesan dan menyekat kemungkinan panggilan penipuan.

WHATSAPP

Anda tidak perlu memberikan seseorang nombor telefon anda untuk mereka memilikinya.

Hampir semua rakyat Malaysia menggunakan aplikasi WhatsApp untuk berbual tentang hal-hal peribadi, kerja, atau komunikasi bersama universiti kerana ia adalah percuma, cekap dan mudah untuk digunakan. Ini merupakan sebab utama sasaran scammer.

Scammer sering mendapat nombor telefon daripada kebocoran data atau platform media sosial seperti Facebook atau LinkedIn.

Contoh:

Mesej yang dihantar daripada nombor yang tidak dikenali tentang memenangi hadiah atau mesej daripada orang tersayang yang meminta bantuan.

  1. Penipuan Penghantaran Bungkusan
    Mesej atau panggilan yang mendakwa bungkusan anda tersekat di kastam atau memerlukan bayaran tambahan sebelum ia boleh dikeluarkan.
  2. Penipuan Tawaran Kerja
    Mesej yang menawarkan pekerjaan bergaji tinggi dengan kerja minimum, memerlukan anda membayar “yuran pemprosesan” terlebih dahulu.
  3. WhatsApp di hijack
    Seorang penipu yang berpura-pura menjadi rakan atau ahli keluarga, meminta kod pengesahan yang dihantar ke telefon anda untuk mendapatkan akses ke akaun WhatsApp anda.

Cara-cara mengesan scam

  1. Mesej dari nombor yang tidak diketahui
    Scammer sering menghubungi anda daripada nombor yang tidak dikenali. Jika anda menerima mesej daripada nombor yang tidak dikenali, berhati- hati— terutamanya jika mereka meminta butiran peribadi atau wang.
  2. Mewujudkan rasa terdesak
    Scammer akan cuba membuat anda panik dengan mengatakan sesuatu yang mendesak— seperti masalah dengan akaun bank anda, hadiah yang mesti anda tuntut dengan segera, atau rakan yang menghadapi masalah. Mereka mahu anda bertindak pantas tanpa berfikir.
  3. Menyamar sebagai seseorang yang anda kenali
    Helah biasa mereka ialah berpura-pura menjadi rakan atau ahli keluarga yang telah “menukar nombor telefon mereka.” Mereka mungkin meminta wang atau maklumat sensitif. Sentiasa sahkan dengan menghubungi rakan tersebut secara langsung sebelum membalas.
  4. Panduan scam WhatsApp
    WhatsApp sediakan sumber rasmi tentang cara mengenali dan mengelakkan scam.

Anda boleh mengetahui tentang mesej yang mencurigakan, fail palsu dan petua untuk kekal selamat di sini:

https://faq.whatsapp.com/2286952358121083

Bagaimanakah Cara Untuk Mengelakkan Scam (Organisasi)

Latihan Pekerja
Cara terbaik untuk mencegah penipuan adalah melalui latihan yang betul. Syarikat harus mendidik pekerja tentang mengenali dan bertindak balas terhadap scam.

Mengadakan Bengkel Anti-Scam
Anjurkan bengkel di mana ahli profesional, seperti peguam atau wakil daripada NSRC, boleh mengajar pekerja cara mengenal pasti dan mengendalikan scam. Contoh praktikal dan kajian kes kehidupan sebenar boleh menjadikan pembelajaran lebih berkesan.

Peringatan
Orang ramai cenderung lupa dari semasa ke semasa. Oleh itu, peringatan harus kerap diberi. Gunakan e-mel atau media sosial syarikat untuk memastikan pekerja mengetahui taktik scam terkini.

Galakkan Budaya Berhati-hati
Biasakan pekerja untuk mengesahkan permintaan luar biasa, terutamanya yang melibatkan pembayaran atau maklumat peribadi. Semakan semula dengan jabatan berkaitan boleh mengelakkan kerugian besar.

Perkara yang Perlu Dilakukan Jika E-mel atau Identiti Organisasi Anda Disalahgunakan Oleh Scammer

Bertenang dan Bertindak Pantas
Menjadi sasaran scammer boleh meresahkan, tetapi panik tidak akan membantu. Perkara utama ialah bertindak balas dengan pantas dan berkesan.

Laporkan Dengan Segera
Jika e-mel atau identiti organisasi anda telah disalahgunakan dalam scam, ambil tindakan segera:

  • Hubungi talian hotline bank anda (tersedia 24/7) jika butiran kewangan terlibat.
  • Hubungi Pusat Tindak Balas Penipuan Nasional (NSRC) di 997 untuk mendapatkan bimbingan.
  • Ikut arahan mereka, yang mungkin termasuk memfailkan laporan polis.

Makluman Pekerja dan Pelanggan
Scammer boleh sambung menyasarkan organisasi anda, jadi adalah penting untuk memaklumkan kepada orang lain:

  • Beritahu HR untuk mengeluarkan amaran dalaman kepada pekerja.
  • Terbitkan notis awam di laman web dan media sosial untuk memberi amaran kepada pelanggan.
  • Nasihatkan pekerja supaya lebih berhati-hati dengan e-mel atau panggilan yang mencurigakan.

Dapatkan Nasihat Undang-undang
Jika anda tidak pasti bagaimana untuk mengendalikan keadaan, minta nasihat peguam. Peguam dapat membimbing anda tentang langkah yang perlu dilakukan, seperti mengambil tindakan undang-undang terhadap penipu atau melaksanakan langkah keselamatan siber yang lebih kukuh.

Apa yang tidak patut dilakukan?

Jangan panik
Perkara paling buruk yang boleh anda lakukan adalah panik. Apabila kita tertekan, kita tidak berfikir dengan jelas, dan itulah yang dimahukan oleh scammer. Tarik nafas dalam-dalam dan balas dengan berhati-hati.

Jangan Terlibat dengan scammer
Sesetengah orang, terutamanya individu yang lebih muda, mungkin menganggap ia menyeronokkan untuk bertindak balas dengan scammer. Tetapi scammer yang mahir pasti akan dapat mengekstrak maklumat tanpa anda sedari. Tindakan paling selamat adalah mengabaikan dan menyekat mereka.

Jangan berdiam diri
Ramai orang berasa malu, takut akan akibatnya, atau menganggap tiada peluang untuk memulihkan kerugian mereka selepas discam. Tetapi membuat laporan adalah penting—bukan sahaja untuk potensi pemulihan tetapi juga untuk memberi amaran kepada orang lain dan menghalang scam tersebut daripada berulang.


Dengan mengambil langkah yang betul dan menyebarkan kesedaran, anda boleh membantu melindungi diri anda dan organisasi anda.

Apakah Undang-undang yang Boleh Melindungi Anda?

  1. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA)
    Seksyen 233: Menangani penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian. Ia menjenayahkan tindakan seperti menggunakan perkhidmatan rangkaian untuk menghantar kandungan palsu, tidak senonoh, lucah atau menyinggung perasaan dengan niat untuk menjengkelkan, menyalahgunakan, mengancam atau mengganggu orang lain.
    Penalti: Pesalah boleh didenda sehingga RM50,000, penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya sekali.
  2. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA)
    Tujuan: Mengawal pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial, memastikan privasi dan perlindungan data.
    Penalti: Ketidakpatuhan boleh mengakibatkan denda antara RM100,000 hingga RM500,000, penjara satu hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
  3. Akta Jenayah Komputer 1997 (CCA)
    Seksyen 3: Menjenayah akses tanpa kebenaran kepada bahan komputer, biasanya dirujuk sebagai “penggodaman.”
    Seksyen 5: Menangani pengubahsuaian tanpa kebenaran kandungan komputer, seperti memperkenalkan perisian hasad atau virus.
    Penalti: Individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000, penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
  4. Kanun Keseksaan
    Seksyen 416: Meliputi “penipuan dengan penyamaran,” yang terpakai pada penipuan pancingan data yang mana individu menipu orang lain dengan berpura-pura menjadi orang lain.
    Penalti: Boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Undang-undang ini secara kolektif bertujuan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada pelbagai bentuk jenayah siber. Jika anda percaya anda telah disasarkan atau terjejas oleh penipuan siber, adalah penting untuk melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan segera.

Perkara yang Perlu Dilakukan Jika Anda Discam

Jika anda ditarget oleh scammer, mengambil tindakan pantas boleh membantu anda meminimumkan kerosakan dan meningkatkan peluang baikpulih. Berikut ialah perkara yang perlu anda lakukan:

Bertenang dan Proses Situasi Tersebut
Jangan panik. Scammer bergantung pada ketakutan dan kekeliruan untuk memanipulasi mangsa. Luangkan masa untuk memproses apa yang telah berlaku.

Laporkan Kejadian dengan Segera
Jika terdapat penglibatan wang, hubungi talian hotline bank anda dengan segera untuk menyekat transaksi dan melindungi akaun anda.
Hubungi Pusat Tindak Balas Scam Nasional (NSRC) di 997, yang beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam, untuk bantuan dalam melaporkan dan mengendalikan kes scam.
Failkan laporan polis di balai polis terdekat untuk mendokumentasikan scam tersebut dan menyokong sebarang kemungkinan siasatan.

Lindungi Maklumat Peribadi Anda
Jika anda berkongsi butiran sensitif seperti kata laluan atau maklumat perbankan, tukar kata laluan anda dengan segera dan aktifkan pengesahan dua faktor (2FA) untuk keselamatan tambahan.
Beritahu majikan anda jika e-mel kerja atau butiran syarikat anda telah terjejas.

Beri Amaran kepada Orang Lain
Maklumkan kepada rakan sekerja dan pelanggan jika nama, e-mel atau organisasi anda telah disalahgunakan dalam scam untuk mengelakkan mangsa selanjutnya.
Keluarkan makluman kepada syarikat anda dan notis awam di laman web dan media sosial anda jika perlu.

Dapatkan Nasihat Undang-undang
Sesetengah scam mungkin melibatkan pencurian identiti, penipuan atau penyalahgunaan maklumat syarikat. Jika anda tidak pasti tentang langkah seterusnya atau memerlukan panduan tentang tindakan undang-undang, nasihat daripada paguam adalah langkah yang paling baik.

Kami dari Suppiah & Partners bersedia untuk membantu anda. Hubungi kami untuk mendapatkan nasihat undang-undang pakar dan tindakan terbaik untuk melindungi hak anda daripada insiden tersebut.

Mengambil tindakan segera boleh membuat perubahan dalam mencegah kerugian selanjutnya dan melindungi diri anda atau organisasi anda. Sentiasa berwaspada dan sentiasa sahkan sebelum membalas mesej atau panggilan yang mencurigakan.

Rujukan

  1. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998: Akta untuk mengadakan peruntukan tentang dan mengawal selia
    industri komunikasi dan multimedia yang menjurus ke arah percantuman dan perkara-perkara yang
    bersampingan dengannya.
  2. Akta Perlindungan Data Peribadi 2010: Akta untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi dalam
    transaksi komersial dan untuk mengadakan peruntukan bagi perkara-perkara yang berkaitan dan
    bersampingan dengannya.
  3. Akta Jenayah Komputer 1997: Akta untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan berhubungan dengan
    penyalahgunaan komputer.
  4. Kanun Keseksaan: Akta berkenaan dengan kesalahan-kesalahan jenayah.
  5. Statistik Scam: https://www.malaymail.com/news/malaysia/2024/10/03/scam-epidemic-malaysians-lose
    us128b-annually-equivalent-to-3pc-of-gdp-amid-rising-ai-threats/152485
  6. Scoop: https://www.scoop.my/news/246047/agong-wants-to-combat-red-tape-culture/

© 2025 Suppiah & Partners. Semua hak terpelihara. Kandungan surat berita ini bertujuan untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak membentuk nasihat undang-undang.

Lihat Lebihan Artikel